5 Faktor Rizal Ghazali Boleh Di Angkat Sebagai Pemain Pertahanan (Kanan) Terbaik Di Liga Malaysia Sekarang
Pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia 2016, Rizal Ghazali telah dijatuhi hukuman denda RM25,000 oleh FAM menurut artikel 1(7)(d) pada bulan Februari 2017 yang lalu, di atas kesalahan pertindihan kontrak.
Beliau dilaporkan menjadi rebutan di antara pasukan asalnya iaitu Kedah dan kelab Felda United. Walaubagaimanapun FAM telah memutuskan Rizal akan terus kekal menjadi hak milik pasukan Hijau Kuning aka The Red Eagles. Persoalan yang timbul sekarang ialah kenapa Rizal menjadi pemain rebutan pasukan-pasukan utama dari Liga Super Malaysia?
Berikut ialah 5 sebab kenapa Rizal layak diangkat sebagai bek kanan terbaik di dalam Liga Malaysia kini.
1. Kekuatan Fizikal yang Bagus
Penulis berpendapat aset utama Rizal adalah terletak kepada kekuatan fizikal dan tenaga kuda yang dimilikinya. Ini dapat dilihat apabila beliau mampu bermain pada intensiti yang sama sepanjang 90 minit permainan.
Sekiranya permainan berlanjutan ke masa tambahan, beliau kekal fokus sehingga ke wisel penamat seperti yang ditonjolkan di dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2016. Hasilnya, beliau berjaya menjaringkan gol kemenangan pasukan Kedah hasil tendangan penalti terakhir yang diambil oleh beliau sendiri.
2. Disiplin Permainan Sangat Tinggi.
Rizal sentiasa berada di posisi yang betul mengikut tempo permainan. Jarang sekali beliau off-position semasa bertahan dan akan berada di posisi sayap untuk membuat overlapping atau melebarkan permainan di sebelah tepi bagi membantu serangan pasukan.
Beliau juga jarang dilihat menerima kad kuning yang tidak sepatutnya kerana berkemampuan untuk membuat bentesan-bentesan bersih dan tepat masanya.
3. Mempunyai Kederasan Larian
Rizal mempunyai pace atau daya pecutan yang bagus sebagai seorang bek kanan. Tidak ramai pemain sayap yang boleh mengatasi kederasan larian beliau. Kalau tak percaya anda boleh tanya R. Gopinathan, bekas pemain sayap Pahang dan Selangor yang sekarang bergelar pemain simpanan pasukan JDT. Tidak ramai yang mampu menyaingi larian Gopi tetapi tidak Rizal.
Pemain-pemain sayap pasukan lawan tidak akan cuba untuk membawa bola ke hujung padang untuk dilintangkan sebaliknya terpaksa membuat hantaran sisi atau hantaran ke belakang sahaja kerana tidak mampu mengatasi larian pantas beliau. Sekiranya terlepas, pasti akan dibentes dan bola berjaya dirampas dari kaki lawan.
4. Pendekatan No-nonsense.
Tiada kompromi. Itulah pendekatan yang digunakan di dalam permainan beliau. Cuba perhatikan cara beliau membuat bentesan dan perhatikan juga hasil dari bentesan tersebut. Pemain lawan pasti akan tersungkur menyembah bumi.
Rizal juga tidak akan berfikir dua kali untuk membuat pintasan, hadangan badan atau apa sahaja kaedah yang sesuai dan dibenarkan oleh pengadil untuk mematikan serangan lawan.
5. Konsistensi.
Prestasi beliau sangat konsisten untuk pasukan Kedah dan Malaysia. Selepas berjaya menerobos masuk ke pasukan utama Kedah musim lalu, beliau berjaya pula membuka mata dan mengetuk hati jurulatih Malaysia untuk memberi peluang kepadanya membuktikan bakat dan kemampuan bersaing di peringkat antarabangsa.
Sehingga kini, posisi bek kanan pasukan Kedah dan Malaysia belum diancam serius oleh mana-mana pemain kerana Rizal berjaya mengekalkan konsistensi permainannya sejak musim lalu.
Prestasi Yang Masih Boleh Di Pertingkatkan Lagi.
Sebenarnya ada beberapa lagi elemen-elemen permainan beliau yang sangat bagus dan boleh dibincangkan di sini. Antaranya ialah kemampuan membaca perlawanan dengan baik. Elemen ini akan meningkat naik seiring dengan bertambahnya pengalaman beliau di dalam arena bolasepak tempatan dan antarabangsa.
Walaupun begitu, ada satu perumpamaan ‘mat saleh’ yang berbunyi “he’s not a finished article yet”. Beliau adalah sebuah artikel yang belum siap? Ya. Ini bermaksud beliau belum lagi boleh dianggap sebagai pemain yang sempurna.
Antara elemen lain permainan beliau yang boleh diperbaiki adalah hantaran lintang dari sebelah kanan padang. Kadang-kadang kita boleh lihat walaupun mempunyai ruang dan masa, hantaran lintang beliau agak liar dan gagal menemui sasaran di barisan serangan. Ini adalah salah satu elemen yang perlu diperbaiki segera.
Faktor kecederaan dan kecergasan juga boleh membantutkan perkembangan karier beliau untuk terus maju ke peringkat yang lebih tinggi.
Siapa di kedudukan kedua dan ketiga selepas Rizal? Saya pilih Matthew Davies dan S. Kunanlan. Bagaimana dengan anda?
Selamat maju jaya kepada Rizal Ghazali dan majulah bolasepak untuk negara.
//Picture : kedahfa.my