FAM Rombak Liga-M 2015

Nampaknya akan ada satu perubahan besar yang ingin dilakukan FAM bagi mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak Malaysia. Zaman gemilang yang telah menjadi sejarah dan tidak pernah dirasai oleh penyokong generasi baru.
Salah satu tuntutan gabungan penyokong Harimau Malaya, Presiden FAM Sila Letak Jawatan (PFSLJ) ialah mahukan Liga Malaysia Gred-D ketika ini diperbaiki segera.
Munkin tersentak dari lamunan, ‘terpukul’ apabila penyokong bola sepak Malaysia menggelarkan Liga Malaysia Gred-D, FAM telah menubuhkan satu jawatankuasa khas Penswastaan Liga Malaysai bagi membentuk satu badan khas yang akan menguruskan Liga-M pada tahun 2015.
Perancangannya, Liga-M akan diuruskan oleh badan berasingan. Pengerusi atau Ketua Pegawai Eksekutif akan dilantik bagi mengetuai badan itu. Badan tersebut masih lagi mempunyai wakil FAM, penaja dan kelab bertanding.
Berkemungkinan juga selepas ini tiada lagi pasukan negeri yang bertanding, sebaliknya persatuan bola sepak negeri menjadi penyelaras pertandingan atau liga di negeri masing-masing.
“Sama ada status pasukan negeri bertukar menjadi kelab akan diputuskan kemudian kerana mereka diberikan pilihan tapi yang penting kita mengeluarkan lesen kepada setiap kelab. Mereka perlu mempunyai lesen untuk menyertai liga dan lesen itu hanya diberikan jika mereka memenuhi beberapa kriteria.”
– Naib Presiden FAM Datuk Afandi Hamzah
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said, dipertanggungjawab menyediakan kertas konsep penswastaan Liga-M, beliau akan meneliti model terbaik liga di Asia dan negara Eropah sebagai rujukan dalam tempoh penyediaan kertas kerja tersebut. Ianya dijangka siap pada Jun 2014.
“Kertas konsep ini dibuat berdasarkan pandangan semua pihak terbabit dalam liga iaitu persatuan negeri dan kelab, penyokong, pengadil dan penaja. Saya juga akan meneliti beberapa model liga di Jerman, Jepun, Arab Saudi, England sebagai panduan. Tapi saya hanya menyediakan kertas konsep tapi keputusan akhir di tangan FAM,”
– Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said
Liga yang berkualiti pasti akan menghasilkan pemain yang lebih berkualiti dan lebih baik. Seterusnya, pemain yang berkualiti sahaja akan menyarung jersi Harimau Malaya. Dengan cara ini skuad Harimau Malaya mampu untuk kembali ke zaman kegemilangan.
Telah ramai yang menegur tentang kualiti pemain Harimau Malaya. Ramai juga ‘orang kuat’ yang hanya diam seribu bahasa kerana takut dikenakan tindakan Artikel 88 jika menegur skuad kebangsaan.
Terbaru, reaksi jujur Ketua Pengarah MSN Datuk Seri Zolkples Embong terhadap skuad Harimau Malaya, beliau mengatakan jika Harimau Malaya dibimbing oleh Jose Mourinho ataupun Alex Ferguson sekalipun, ranking negara tidak akan berubah. Sebabnya , pemain berkualiti rendah.
Semoga dengan pembaharuan format Liga-M pada tahun 2015 akan membuka lembaran baru dalam dunia bola sepak Malaysia. Lebih ramai pemain yang berkualiti dan hebat akan muncul dan ranking Malaysia juga akan meningkat.
Sumber : hmetro.com.my
August 1, 2013 @ 11:45 pm
semoga rombakan ni nanti dapat naikan ranking dunia malaysia yang merudum ni.
August 2, 2013 @ 10:53 am
FAM baru sedar yang ranking itu penting. selama ni tak sedar agaknya
August 2, 2013 @ 6:19 pm
go harimau malaya! malam ni den ada game futsal, so kena pakai baju harimau malam ni
August 6, 2013 @ 8:45 am
bulan puasa pun layan futsal lagi eh..
orang bujang, biasalah..
August 6, 2013 @ 2:23 pm
hehe biasa la bro, kena berpeluh juga sekurang kurang sekali seminggu 🙂