Lelaki Johor Ini Kongsikan Pendapatnya Tentang Perbezaan Kapasiti Seorang Presiden FAM Dan Sultan
Seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Khuzrin Kamarudin telah berkongsi pendapatnya tentang perbezaan yang harus difahami oleh semua penyokong bola sepak Malaysia umumnya dan penyokong Johor Darul Takzim (JDT) khasnya tentang kapasiti seorang Pesiden FAM dan kapasiti seorang Sultan.
Perlembagaan Orang Facebook.
Penulis secara sinis telah mewujudkan perkataan Perlembagaan Orang Facebook. Di dalam perlembagaan ini, orang yang bukan dalam bidang pekerjaan tersebut tidak boleh menulis hal lain di luar bidangnya. Selain itu, orang negeri lain tidak boleh menulis atau mengkritik negeri lain.
Tapi menengokkan kawan aku, Mohd Zailee yang kena keroyok habis-habisan sebab beliau mengkritik penyokong JDT. Kononnya menghina institusi kenegerian Johor. Aku rasa terpanggil. Menurut mereka yang marah, Zailee ialah orang Kelantan. Oleh demikian, mengikut perlembagaan orang Facebook, orang negeri lain diharamkan sama sekali untuk bercerita hal negeri orang lain.
Apatah lagi dia ialah seorang cikgu. Menurut perlembagaan orang Facebook lagi, seorang cikgu haruslah memuat naik status hal-hal berkenaan sekolah, kantin, padang bola, pendidikan, silibus, perkembangan murid. Tak boleh langsung tulis pendapat dan pandangan peribadi. Haram!
Kalau cikgu cuma boleh tulis hal sekolah, kalau polis cuma boleh tulis hal jenayah, kalau doktor cuma boleh tulis hal penyakit, habis siapa yang ada hak untuk menulis hal-hal pandangan peribadi yang menongkah sistem? Rempit? Abang jual burger? Nelayan? Pakar IT? Pakar ekonomi? Mak cik jual karipap?
Latar Belakang Penulis.
Oleh kerana tidak mahu dihentam oleh pendukung tegar fahaman Perlembagaan Orang Facebook, penulis berkongsi latar belakang dirinya yang juga adalah anak jati Johor
Kalau begitu, aku rasa akulah yang boleh tulis hal penyokong JDT. Sebab aku tadika di Kulai, sekolah rendah di SK Polis Kem Kulai, sekolah menengah di SMK TAR Putra Kulai, SMK Bekok Segamat malah menuntut juga di UiTM Segamat, Johor. 100% Johor.
Penyokong Pahang Yang Tenang.
Presiden FAM yang terdahulu adalah dari kerabat Di Raja Pahang. Penulis melihat, penyokong Pahang tidak pernah melenting bila mana Presiden FAM ketika itu dikritik dan dihentam oleh ramai penyokong bola sepak Malaysia. Ini kerana, rata-rata penyokong bola sepak Malaysia faham, yang dikritik itu ialah Presiden FAM
Hai orang-orang penyokong JDT, selama lebih 30 tahun FAM disandang Sultan Pahang, berbakul-bakul makian baginda dapat oleh semua yang mahukan perubahan bola sepak. Namun tak terasa hairan kah? Kenapa orang Pahang tetap rileks-rileks makan tempoyak ikan patin dekat Temerloh? Langsung tak melenting sungguhpun naik tifo bergambar anjing.
Senang. Sebabnya yang dimaki-hina itu Presiden FAM. Bukannya Sultan Pahang. Mereka tahu antara kapasiti Presiden FAM, dan kapasiti seorang Sultan. Ada perbezaan.
Analogi Presiden FAM.
Bagaimanakah pula jika Presiden FAM bukan dari kerabat istana.
Katakanlah, Presiden FAM sekarang ialah seorang Mufti Agama Islam Wilayah Persekutuan. Kita pun pum-pam-pum-pam maki Presiden FAM mahu perubahan. Adakah kita semua sebenarnya sedang menghina agama Islam?
Tuan-tuan dan puan-puan. Aku orang Johor. Aku lahir di Batu Pahat, Johor. Aku berpusing serata Johor. Tapi aku bukan penyokong JDT.
Laungan Bangsa Johor.
Tapi kenapa aku rasakan, cuma orang Melayu Johor sahaja yang beria-ia melaungkan Bangsa Johor? Cuba tuan-tuan dan puan-puan kalau jalan dekat Parit Raja, Benut, Pontian, Kulai, Muar, Segamat, Labis, Kota Tinggi, perhatikan sepanjang jalan.
Nampak tak rumah orang Cina bercat merah biru siap terpacak tinggi bendera Johor? Pernah nampak tak kereta bangsa India ada airbrush JDT sebesar-besar alam?
Adakah yang dilaungkan kalian semua selama ini ialah Bangsa Johor atau Bangsa Melayu Johor? Ataupun Bangsa Bola Johor?
Apakah orang bangsa Cina dan India tak peduli hal kenegerian, hal kesultanan? Sedangkan kewujudan Datuk Gong, (sejenis patung sembahan orang cina) merupakan patung yang dipercayai diresapi roh sultan-sultan dahulu. Ini bukti kukuh bagaimana bangsa Cina dahulu menghormati Sultan. (Boleh Google hal Datuk Gong ni)
Tuan-tuan dan puan-puan. Aku rasa dulu berkali-kali aku tulis. Johor ialah sebuah negeri manakala JDT ialah sebuah kelab bola sepak. Dua entiti yang sangatlah berbeza dari bentuk dan gerak kerja. Kenapa mesti kalian mengamuk dan campur-adukkan JDT dengan Johor bila ada orang bahan, troll JDT?
Taksub Dengan Semangat Kenegerian
Terlampau taksub dengan kenegerian hingga tidak boleh ditegur, di usik atau dijadikan ‘bahan’ orang lain
Pekakkan sahajalah telinga. Itu kan sebentuk troll. Antara rencah dalam bola sepak. Itulah keseronokkan. Tengok sahaja penyokong Liverpool dengan Manchester United. Walaupun kedua-duanya bukanlah pasokan yang kuat, tapi mereka saling membahan. Bertahun-tahun! Perseteruan mereka cuma bermula dan berakhir hal bola. Takde terjadi mengutuk Merseyside dan Manchester.
Janganlah terlalu taksub bernegeri dalam bola. Untuk semua pasokan bola pun yang dalam Malaysia. Bersederhanalah. Tak jadi apa pun. Kalaulah aku boleh merayu untuk korang jadi matang dalam bola, nak sangat aku merayu. Walaupun aku tahu, tulisan aku tulis sini habis sini.
Come on. Dah 5 tahun kot korang tengok bola. Takkan tak boleh belajar lagi.
Bukan Bidang Pekerjaan, Tidak Boleh Berikan Komen.
Satu lagi. Orang kritik, tak semestinya itu lapangan dia. Tapi orang tu tahu apa yang sepatutnya terjadi. Macam masak nasik ayam. Korang tahu rasa nasik ayam yang sedap. Tapi belum tentu semua reti cara masak nasik ayam yang sedap.
Kalau korang pergi kedai mamak, korang order mi goreng mamak. Tapi bila mi goreng mamak tu sampai, langsung tak sedap. Rasa selipar. Korang pergi dapur mamak tu lepas tu masak?
Kau yang selama ni snap gambar hospital, nurse tidur. Snap gambar kaunter pejabat pos yang tak efisyen, screenshot mesej Astro, maki LRT, marah Daniel Lawak Solo langsung tak kelakar, bengang suara Aiman Tino macam anjing. Kenapa korang tak ganti je kerja diorang?
Begitu hal nya orang yang kritik hal bola. Takkan orang tu kritik, kau terus suruh dia jadi presiden? Kau suruh dia main bola? Ok? Ngam.
Kesimpulan.
Ilmu pengetahuan dan berfikiran matang, pandangan dan kritikan yang membina boleh membantu menggerakkan agenda pengurusan FAM dalam meningkatkan mutu bola sepak Malaysia yang telah lama sepi dari sebarang kejayaan besar.
Perbezaan pendapat itu adalah perkara biasa malah ia boleh diraikan. Tetapi perbezaan pendapat tidak sepatutnya membawa kepada perpecahan dan menimbulkan perasaan benci membenci.
Baca artikel asal penulis disini.