Majlis Pengundian Dan Taklimat Pasukan Liga Putrajaya 2017

Majlis Pengundian Dan Taklimat Pasukan Liga Putrajaya 2017 | Pada 30 September 2017 yang lalu, wakil pengurusan Putrajaya Industry FC (PIFC) telah hadir ke Majlis Pengundian Pasukan Liga Putrajaya 2017.
Liga Putrajaya 2017 edisi sulung ini telah menerima 16 penyertaan pasukan disekitar Putrajaya. Liga ini akan mengikut format Liga FAM dimana setiap pasukan akan dibahagikan kepada 2 kumpulan. Juara dan naib juara setiap kumpulan akan bertemu di peringkat separuh akhir, seterusnya ke perlawanan akhir untuk menentukan juara liga.
Pengundian Pasukan Bertanding.
PIFC yang diwakili oleh pengurus pasukan Haridz Johari telah berjaya meletakkan PIFC di dalam kumpulan A semasa undian dijalankan.

Antara pasukan yang turut berada di dalam kumpulan A ialah TT Utd, MOA FC, DM FC, Alamanda Utd, PU FC, MOF Utd, KBS P9. Manakala pasukan yang berada di kumpulan B ialah Kekas FC, LPPSA, Red Panther, Evo FC, Red White, Mesca-KPM, MAKSIM dan PPJ FC.
Kekuatan Pasukan Bertanding.
Sukar untuk meramalkan kekuatan setiap pasukan, kerana ini adalah kali pertama mereka bertemu sesama sendiri.
Akan tetapi dikhabarkan, beberapa pasukan dalam kumpulan A ini sebenarnya sangat berpengalaman dan telah menyertai banyak pertandingan bola sepak di luar Putrajaya. Ianya boleh menjadi satu saingan yang sukar buat PIFC, kerana ini adalah pertandingan sulung yang mereka sertai.
Untuk menyokong pembangunan bola sepak di peringkat belia, penganjur mewajibkan setiap pasukan yang bertanding perlu menyenaraikan seorang pemain berumur 21 tahun di atas padang.
Perjalanan Liga Putrajaya 2017.
Liga Putrajaya 2017 ini dijadualkan akan berjalan selama 3 bulan dengan sepak mula pada 8 Oktober 2017 jam 3.00pm. Semua perlawanan akan berlangsung pada setiap hari sabtu dan ahad.
Persatuan Bolasepak Putrajaya (Putrajaya FA)
Persatuan Bolasepak Putrajaya (Putrajaya FA) adalah Persatuan bolasepak bertaraf Negeri yang ke-16 dan paling bongsu yang telah didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Sukan Kementerian Belia & Sukan Malaysia pada Tahun 2011.

Walaupun sehingga hari ini Putrajaya FA masih belum menjadi Ahli Gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasmi, namun usaha ke arah itu sedang dilakukan dari semasa ke semasa utk memenuhi syarat dan kelayakan yg telah ditetapkan oleh FAM.
Penganjuran liga bola sepak ini juga adalah sebahagian dari usaha pihak Putrajaya FA untuk memenuhi syarat dan kelayakan yang ditetapkan FAM untuk menjadi ahli gabungannya. Buat masa sekarang, Putrajaya FA masih lagi bernaung di bawah Kuala Lumpur FA.
Diharapkan dengan penganjuran liga ini, ianya akan menjadi pemangkin kepada kemajuan bola sepak di Putrajaya khususnya dan Malaysia secara am nya.