Nazmi Faiz Akan Ke Portugal
Pemain berbakat besar negara, Nazmi Faiz telah disahkan akan menjalani sesi pemilihan pasukan utama kelab S.C.Beira-Mar di Portugal. S.C.Beira-Mar kini sedang menduduki tempat ke-12 dari 16 pasukan dalam Liga utama Portugal. Berita ini disampaikan sendiri oleh jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee.
Sebelum ini terdapat banyak spekulasi dan andaian yang dibuat oleh peminat bola sepak Malaysia mengatakan dia akan beraksi di Cardiff City atupun salah satu kelab liga utama di Portugal. Desas-desus itu ditambah lagi dengan ada yang mengatakan, ianya bekas kelab pemain Real Madrid, Cristiano Ronaldo.
Nazmi Faiz dan bapanya akan berangkat ke Portugal pada Ahad ini untuk membuat perbincangan dengan kelab dan mungkin akan menandatangani pra-kontrak. Dia akan menjalani latihan dan sesi pemilihan tersebut pada 14 hingga 21 Mei.
Menurut laporan berita, kelab tersebut tertarik dengan cara permainan Nazmi Faiz selepas menonton rakaman video yang diberikan oleh Football Management International (FMI).
Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee merasa sangat bangga dengan Nazmi Faiz. Dia berjaya membuktikan bakatnya, berjaya menarik perhatian kelab dari luar negara terutamanya kelab dari Eropah. Ianya juga satu perkembangan yang sangat baik buat Nazmi untuk menjadi pemain terbaik Malaysia suatu hari nanti.