Perjalanan Harimau Malaya Di Piala AFF Suzuki 2014

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran skuad Harimau Malaya mara hingga ke final dalam kempen Piala AFF Suzuki 2014 kali ini. Alhamdulillah sasaran itu tercapai, cuma kita tidak menang.
Tahniah kepada Thailand.
Kejayaaan itu membolehkan skuad ‘Gajah Perang’ kendalian Kiatisuk Senamuang muncul juara buat kali keempat selepas meraih kejuaraan pada tiga edisi terdahulu iaitu 1996, 2000 dan 2002.
Dollah Salleh diletakkan harapan tinggi untuk kempen kali ini. Dia perlu mengembalikan maruah bola sepak Malaysia. Tapi masa yang diberikan terlampau pendek. Dia mempunyai masa lebih kurang sebulan selepas dilantik menjadi jurulatih Harimau Malaya.
* * *
Ramai yang mempersoalkan kewajaran beberapa pemain yang menjadi pilihan Dollah Salleh. Antaranya ialah Shukor Adan, Indra Putra dan beberapa pemain utama Harimau Malaya sebelum ini, Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talha (Mat Yo).
Beberapa pemain yang mempamerkan aksi terbaik dalam Liga Malaysia tidak tersenarai dalam skuad Harimau Malaya.
Ternyata Dollah Salleh mempunyai rancangan dan ideanya yang tersendiri.
Harimau Malaya kali ini, dialah ‘penjaganya’
* * *
Malaysia berada di dalam kumpulan B untuk kempen kali ini bersama dengan Myanmar, Singapura dan Thailand.
Malaysia memulakan perlawanan peringkat kumpulan dengan langkah kiri apabila sekadar seri 0-0 dengan Myanmar. Secara rasminya, ini adalah perlawanan kompetitif pertama skuad Harimau Malaya dibawah kendalian Dollah Salleh.
Dalam perlawanan dengan Myanmar itu juga, Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Gary Steven Robbat dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke 35.
Perlawanan peringkat kumpulan kedua pula Malaysia bertemu dengan Thailand. Selepas dilihat seperti mampu mengimbangi corak permainan Thailand dengan mendahului dengan 2-1, Malaysia tewas kepada skuad muda Thailand dengan 2-3.
Ini jelas menggambarkan, ‘penyakit’ lama Harimau Malaya masih belum kebah, belum ada penawarnya. Hilang tumpuan diminit akhir dan juga hilang stamina. Dua gol Thailand diperolehi pada minit 72 dan 90.
Kekalahan dengan Thailand ternyata membuatkan tugas Harimau Malaya untuk kempen kali ini bertambah sukar apabila terpaksa bertemu Singapura. Bermain di gelanggang sendiri jelas memberi kelebihan psikologi untuk mereka.
Dalam perlawanan ketiga peringkat kumpulan, Malaysia bertemu Singapura, hanya kemenangan yang dapat memastikan langkah seterusnya Hariamau Malaya. Percaturan diatas kertas, Singapura hanya perlu seri dalam perlawanan ini untuk melayakkan mereka ke peringkat seterusnya. Nampak seperti satu misi yang agak mudah.
Disinilah bermulanya ‘sentuhan ajaib’ Dollah Salleh. Harimau Malaya menang 3-1 hasil dari jaringan Safee Sali, Safiq Rahim dan Indra Putra. Dollah Salleh dan anak buahnya tidak menghampakan ribuan penyokong Malaysia. Ketika ramai pemerhati bola sepak meramalkan ianya satu tugas sukar, lebih-lebih lagi dengan bermain di Singapura, Dollah Salleh membuktikan, tiada yang mustahil.
* * *
Dalam perlawanan peringkat kedua, Malaysia bertemu Vietnam (Juara Kumpulan A) dan Thailand bertemu Filipina.

Perlawanan pertama Malaysia dan Vietnam berlansung di Stadium Shah Alam. Dengan sokongan penuh dari penyokong Harimau Malaya, perlawanan ini nampak seperti tidak memberikan masalah kepada Malaysia. Tapi sayangnya, Malaysia tewas 1-2. Gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Safiq Rahim menerusi sepakan penalti. Tidak tahu mana silapnya, permainan Harimau Malaya tidak sehebat ketika mereka menentang Singapura.
Kekalahan 1-2 memberikan gambaran seperti laluan untuk mara ke final adalah sukar. Tambahan, selepas ini Harimau Malaya akan bermain di Hanoi. Untuk layak ke final, sekurang-kurangnya Malaysia perlu menjarinkan 3 gol tanpa bolos untuk memadamkan kelebihan gol Vietnam di tempat lawan.
Perlawanan ini juga mencipta sejarah hitam dalam bola sepak Malaysia khususnya dan ASEAN secara amnya.
Akibat kecewa dengan kekalahan ini, beberapa orang hooligans (samseng bola sepak) telah menyerang penyokong Vietnam. Tindakan mereka telah mencemarkan nama Malaysia.
Menjadi trending dan viral di media sosial, beberapa orang penyokong Vietnam di tendang dan ditumbuk hingga berdarah.
Tindakan bodoh dan tidak bertamadun ini boleh membahayakan keselamatan penyokong Malaysia yang akan ke Hanoi untuk menyokong Harimau Malaya dalam perlawanan kedua nanti.
Rata-rata penyokong Malaysia juga tidak menyokong tidakan mereka. YB Khairy Jamaludin (Menteri Belia Dan Sukan) turut mengutuk tindakan tidak bermoral ini. Dia juga telah memohon maaf kepada Vietnam berkaitan hal ini.
Terbaru, beberapa orang hooligans itu telah dikenalpasti dan ditangkap. Mahkamah juga telah menjatuhkan hukuman kepada mereka. Semoga perkara ini menjadi iktibar dan pengajaran kepada penyokong bola sepak Malaysia
* * *
Perlawanan kedua antara Malaysia dan Vietnam berlansung di Stadium My Dinh. Ianya adalah satu perlawanan yang sangat sukar.
Perlawanan yang perlu menang dan perlu membuat jumlah jaringan yang agak besar. Bermain di tempat lawan dengan sokongan padu dari penonton tempatan memberikan kelebihan besar kepada Vietnam.
Malaysia pula hanya ditemani oleh beberapa orang penyokong bola sepak Malaysia yang benar-benar berani…Kenapa berani?
Sebelum perlawanan ini, ramai penyokong yang khuatir untuk ke sana kerana bimbangkan keselamatan mereka. Mereka takut penyokong Vietnam akan membalas dendam atas apa yang berlaku kepada penyokong mereka di Stadium Shah Alam.
Alhamdulillah, tiada perkara buruk yang berlaku. Penyokong Malaysia yang kesana disambut dengan baik oleh penyokong Vietnam.
Ribuan penyokong Vietnam di Stadium My Dinh menyaksikan sekali kali lagi ‘sentuhan ajaib’ Dollah Salleh berlaku. Perlawanan yang pada mulanya dianggap sukar telah berjaya diatasi oleh Dollah Salleh dan anak buahnya.
Malaysia menang 4-2 dalam perlawana itu dengan agregat 5-4 melayakkan mereka untuk ke final Piala AFF Suzuki 2014 bertemu Thailand.
* * *
Final Piala AFF Suzuki Cup 2014 menyaksikan pertembungan Harimau Malaya dan Gajah Perang. Mereka pernah bertemu sesama sendiri pada final 1996 ketika itu dikenali sebagai Piala Tiger.
Lebih menarik, ketika itu Kiatisuk Senamuang adalah pemain utama Thailand begitu juga dengan Dollah Salleh. Nasib tidak menyebelahi Dollah ketika itu, kerana dia tidak dapat bermain akibat kecederaan.
Selepas lebih 18 tahun, mereka bertemu sekali lagi, kali ini sebagai jurulatih skuad kebangsaan negara masing-masing.
8 kali mara ke final dan telah menjuarai 3 kali Piala AFF ternyata Thailand adalah lawan sukar untuk Malaysia. Thailand dibarisi ramai pemain muda. Skuad yang sama juga berjaya mendapat tempat ke-4 dalam Sukan Asia 2014 di Incheon.

Perlawanan pertama di Stadium Rajamangala, Thailand ternyata sukar buat Harimau Malaya. Sekali lagi penyakit lama skuad kebangsaan kita muncul kembali. Hilang kosentrasi di minit-minit akhir perlawanan. Atau lebih tepat, skuad kita hanya mampu beraksi 70-80 minit sahaja. Selebihnya bergantung kepada nasib.
Malaysia tewas 0-2 dalam perlawanan pertama ini. Gol dijaringkan oleh Charyl Chappuis pada minit 72 (penalti) dan minit 86 oleh Kroekrit Thawikan.
Perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil berjaya menghimpukan lebih 90,000 penyokong Harimau Malaya. Harapan mereka cukup besar. Hanya kemenangan yang mereka mahukan. Mereka mahukan Harimau Malaya kembali digeruni di rantau ini.
Walapun ini hanyalah piala untuk negara Asia Tenggara, jika ASEAN sudah kita pegang, tidak mustahil pula untuk kita pegang Asia.
Ramai yang mengharapkan ‘sentuhan ajaib’ Dollah Salleh untuk perlawanan final ini menjadi.
Sentuhan ajaib Dollah Salleh sekali lagi benar-benar terjadi. Taktikal yang diatur telah diterjemahkan dalam padang oleh pemain dengan baik. Malaysia menang 3-2 di Bukit Jalil. Walaupun menang, tapi Malaysia tidak bergelar juara.
Dua gol lewat dari Charyl Chappuis minit 82 dan 87 oleh Songkrasin menutup malam gemilang untuk Malaysia.
Malaysia tewas kepada Thailand dengan aggregat 3-4.
* * *
Walaupun gagal untuk menjadi juara Piala AFF Suzuki 2014 ini, rata-rata penyokong Malaysia berpuashati dengan corak permainan dan taktikal bijak yang direncanakan oleh Dollah Salleh untuk kempen kali ini. ASEAN masih lagi dipegang oleh Thailand.
Jika kita tidak berjaya menakluk ASEAN, bila agaknya kita dapat menjadi jaguh Asia? Bila agaknya kita dapat bermain di Piala Dunia?
Rancangan lebih baik perlu dibuat oleh FAM. Jangan cepat berpuas hati. Sampai bila kita nak berpuas hati dengan terma ‘kalah bermaruah’
//Sumber : affsuzukicup.com
January 12, 2015 @ 6:15 pm
Selamta,, semoga bisa menjadi semangat untuk lebih baik lagi.