Ranking Malaysia Kini Ke-153
Menurut ranking terkini yang dikeluarkan oleh FIFA, Malaysia naik tiga anak tangga daripada kedudukan ke-156 ke 153. Sebelum itu Harimau Malaya menduduki tangga ke-148 pada Januari, ke-150 pada Februari dan ke-152 pada Mac.
Laporan berita menyatakan peningkatan itu hasil dari kemenangan skuad kendalian Datuk K. Rajagonal yang berjaya membelasah Sri Lanka 6-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam baru-baru ini.
Kedudukan di dalam Asia Tenggara, Malaysia masih lagi berada di tempat ke-5 di belakang Vietnam (97), Thailand (141), Filipina (148) dan Indonesia (151). Di peringkat Asia, kedudukan Malaysia naik satu anak tangga pada kedudukan ke-26 dari 46 negara.
Kedudukan Harimau Malaya ini masih lagi boleh diperbaiki menerusi beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa yang telah diatur oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Bertemu Filipina pada 1 Jun di tempat sendiri disusuli menentang Singapura pada 8 dan 12 Jun di sini dan tempat lawan.
Pengurusan Harimau Malaya perlu lebih lagi mencari lawan yang mampu meningkatkan lagi ranking FIFA. Menafikan kepentingan ranking FIFA, asalkan setiap kali perlawanan menang, adalah sesuatu yang kurang bijak.
Ranking FIFA adalah bench-mark untuk mengukur sejauh mana prestasi bola sepak sesebuah negara.