Sistem Pembangunan Bola Sepak Negara Mana Yang Patut Malaysia Contohi?
Sering kali saya terlihat di media sosial, cakap-cakap tentang mutu bola sepak kita yang makin merudum. Baik dari segi kekurangan pemain yang berkualiti mahupun mutu kejurulatihan.
Kita boleh lihat bertapa jauhnya kita ketinggalan dengan negara jiran kita Thailand, yang mempunyai sebuah liga jauh lebih kompetitif berbanding Liga Malaysia.
Persoalannya, mengapa kita masih jauh ketinggalan?
Adakah disebabkan pembangunan bola sepak negara kita?
Pembangunan bola sepak Malaysia bukannya tidak bagus, malahan mendapat pujian dari pemerhati-pemerhati bola sepak antarabangsa. Mana tidaknya, skuad National Football Develepmonet Program (NFDP) di bawah kendalian Lim Teong Kim berjaya mencatatkan keputusan yang amat memberansangkan ketika berkelana di Eropah.
Di Malaysia sendiri kita dapat lihat terdapat pertandingan peringkat usia dari B-12 sehingga B-18. Terdapat ramai pemain-pemain yang tidak dapat meneruskan perjalanan karier bola sepak mereka selepas mereka menamatkan persekolahan mereka. Apakah sebabnya?
Semasa saya berusia 16 tahun, saya dapat melihat rakan-rakan saya tidak terpilih dalam pasukan negeri. Apa sebabnya? Adakah disebabkan pilih kasih?
Saya dapat lihat, di dalam Liga Malaysia kecenderungan pasukan yang bertanding kebanyakannya adalah pasukan negeri. Di dalam Malaysia terdapat 14 negeri dan terdapat banyak bakat-bakat muda sehingga tidak dapat dikira menggunakan jari. Purata setiap pasukan akan mendaftar 30 pemain untuk beraksi di Liga Malaysia.
Sekiranya terdapat 14 pasukan negeri, maka hanya seramai 420 pemain sahaja yang akan didaftarkan untuk Liga Malaysia. Selebihnya, apakah yang akan terjadi kepada bakat-bakat lain? Sudah tentu mereka tidak akan terpilih.
Bagaimana untuk kita mengubah senario ini?
Kita ambil contoh di Sepanyol, kesemua akademi kelab akan mengambil pemain seawal usia 6 tahun dan selepas pemain-pemain berusia 16 tahun, hanya yang terbaik akan terpilih untuk menandatangani kontrak secara tetap bersama kelab.
Apa akan terjadi kepada pemain yang tidak terpilih?
Pemain yang tidak terpilih bukan kerana mereka tidak berkualiti, tetapi kualiti yang mereka ada tidak menepati kritiria yang dikehendaki kelab. Mereka juga akan mencuba nasib dengan kelab-kelab lain di Sepanyol untuk meneruskan karier mereka.
Bagaimana kita hendak melakukannya di Malaysia?
Bagi pasukan yang masih tidak mempunyai akademi, mereka boleh mencari bakat- bakat muda (scouting) melalui pertandingan peringkat umur seperti MSSD. Ataupun, untuk lebih profesional mereka bola menjalankan kerjasama dengan sekolah-sekolah yang mempunyai potensi dalam bola sepak untuk melahirkan bakat-bakat baru.
Jika hal ini dapat dilakukan oleh semua pasukan di dalam Malaysia, ianya bukan sahaja menguntungkan pasukan, malahan bakat-bakat muda yang berpotensi besar tidak akan terbiar dan terlepas begitu sahaja.
Dengan cara ini (scouting), saya percaya Liga Malaysia akan menjadi lebih meriah serta kompetetif. Kita juga akan dapat melihat pasukan-pasukan di dalam Liga Malaysia berlumba-lumba untuk mendapatkan pemain-pemain yang berkualiti.