Isu Bola Sepak Malaysia
1. Baru-baru ini Admin ada menonton rancangan Bola@Mamak di saluran Astro Super Sport. Tetamu undangan pada malam itu ialah Datuk M. Karathu dan juga pengurus peribadi Safee Sali, Zakaria Ab. Rahim.
2. Datuk M. Karathu semua orang dah kenal, banyak pencapaian dan sumbangannya dalam dunia bola sepak Malaysia. Manakala Zakaria pula, munkin satu-satunya pengurus pemain yang ada di Malaysia ini. Banyak perkara yang dibualkan termasuk lah atmosfera bola sepak Malaysia.
3. Datuk M. Karathu berkata, memang bola sepak Malaysia sekarang sudah profesional, tapi dari segi pengurusannya masih lagi seperti amatur. Banyak perkara yang tidak dirancang dengan teliti. Hampir semua yang berada dalam pengurusan atasan sesebuah persatuan bola sepak negeri bukan orang yang arif dalam bola sepak. Kebanyakkannya adalah ahli politik.
4. Zakaria menambah, situasi berbeza dengan kelab-kelab di Indonesia. Di sana, segalanya-galanya diuruskan dengan profesional (benar-benar profesional). Dana untuk menggerakkan kelab/persatuan tidak disumbangkan oleh kerajaan negeri. Pasukan pengurusan profesional ini akan berusaha mencari penajaan dan sumber kewangan bagi menambahkan dana ke dalam pasukan.
5. Di Malaysia, jika persatuan negeri mengalami masalah kewangan, suntikan kewangan akan diberikan kepada pengurusan pasukan negeri. Dana munkin diperolehi dari syarikat-syarikat kerajaan negeri. Contohnya jika sebuah pasukan ingin mendapatkan pemain import yang berkualiti, dengan jumlah gaji contohnya RM80,000 setahun, maka persatuan terpaksa menggunakan dana yang diberikan tadi untuk membayar pemain import tersebut.
6. Bukankah lebih baik RM80,000 itu dikembalikan kepada rakyat. Kerana ianya adalah hasil dari pendapatan syarikat milik kerajaan negeri. Atau munkin RM80,000 itu boleh digunakan untuk pembangunan bola sepak di akar umbi. Hasilnya, jika ramai pemain yang baik dihasilkan dari program pembangunan, persatuan tidak perlu lagi mendapatkan pemain import.
7. Hampir semua pemain di Malaysia tidak mempunyai pengurus peribadi. Menurut Zakaria ini merugikan pemain itu sendiri. Kenapa pentingnya pengurus peribadi pemain? Bila ada pengurus, pemain tidak perlu pening kepala memikirkan hal-hal lain seperti gaji, kontrak dan sebagainya. Mereka boleh fokus kepada permainan sahaja.
8. Hal itu tidak berlaku di Indonesia, kerana setiap pemain disana mempunyai pengurus peribadi masing-masing. Pengurus ini yang akan menjaga hal berkaitan pemain. Pengurus pasukan dan pengurus pemain adalah 2 individu yang berbeza. Ini lah yang dinamakan pengurusan profesional. Pengurus pemain juga perlu berdaftar dengan FIFA.
9. Di Malaysia masih tidak wujudnya persatuan bagi pemain-pemain bola sepak profesional seperti di negara-negara lain. Di England ianya dikenali sebagai Professional Footballers’ Association (PFA). Di Indonesia menurut Zakaria, persatuan seumpama itu wujud. Ianya dapat melindungi hak-hak pemain bola sepak seperti gaji, rawatan dan sebagai.
10. Indonesian Professional Footballers Association (APPI) telah ditubuhkan pada tahun 2008. Ianya juga telah mendapat pengesahan dari International Federation of Professional Footballers (FIFPro). Persatuan ini akan bertindak sebagai wakil kepada pemain jika terdapat sebarang percanggahan kontrak atau ingin membawa kes tersebut ke FIFA.
11. Walaupun FAM sering mencanangkan Liga Malaysia adalah liga professional. Tapi sebenarnya ianya adalah dari segi luaran sahaja. Masih ramai yang tidak mengamalkan sikap profesional termasuklah pemain sendiri.
12. Mereka juga ada menyentuh soal ranking ke-156 Malaysia. Mereka tekejut bagaimana FAM masih boleh mengambil sikap bersahaja. Zakaria berkata, ranking menjadi satu tanda hormat kepada pasukan lain. Dia pelik bagaimana orang di FAM boleh berkata ranking tidak menjadi masalah, asalkan setiap perlawanan Harimau Malaya menang. Kalau menang dengan pasukan yang lebih rendah rankingnya, perlukah berbangga?
13. Kenapa Malaysia tidak dapat bermain perlawanan persahabatan antarabangsa gred A. Jawapanya ialah ranking. Menurut Datuk M. Karathu, memang sesuatu yang normal jika ada pasukan ranking lebih dari Malaysia yang tidak mahu mengadakan perlawanan persahabatan dengan Harimau Malaya. Kerana mereka juga mahukan perlawanan yang melibatkan pasukan berada di ranking lebih tinggi. Adakah ranking masih lagi tidak penting?