Apakah Yang Di Maksudkan Dengan Peraturan Pemain Homegrown
Peraturan pemain homegrown di Liga Perdana Inggeris merujuk kepada sesebuah kelab perlu menandatangani pemain yang dibangunkan dalam sistem liga Inggeris atau dibangunkan sendiri oleh kelab tersebut. Peraturan ‘homegrown’ ini dimulakan pada musim 2010/2011.
Kelab-kelab di liga Inggeris hanya boleh mendaftarkan 25 pemain berusia lebih 21 tahun dalam pasukan utama kelab. Dalam 25 pemain itu, hanya 17 pemain (bukan tempatan) sahaja yang dibenarkan, dan selebihnya 8 pemain homegrown dalam pendaftaran pasukan utama kelab.
Peraturan yang akan kami kongsikan ini hanya di saingan Liga Perdana Inggeris sahaja, bukannya di liga-liga utama eropah yang lain. Setiap liga mempunyai peraturan pemain homegrown yang berbeza-beza.
Apa yang dimaksudkan dengan pemain homegrown di Liga Perdana Inggeris?
(1) Seorang pemain pemain yang berusia 21 tahun atau lebih pada 1 Januari musim itu.
(2) Menghabiskan masa 3 tahun semasa berusia sekitar 16 hingga 21 tahun dalam sistem liga Inggeris.
Terdapat dua perselisihan faham yang selalu berlaku dan membuatkan ramai orang terkeliru, di mana pemain tidak semestinya berwarganegara England atau Wales untuk menjadi pemain homegrown. Wojceich Szczesny (Poland) dan Cesc Fabregas (Sepanyol) memenuhi syarat kedua iaitu menghabiskan masa 3 tahun semasa berusia sekitar 16 hingga 21 tahun dalam sistem liga Inggeris.
Seterusnya, terdapat juga kesilapan di mana seseorang itu tidak semestinya perlu bermain untuk kelab di dalam sistem liga Inggeris-nya untuk menjadi seorang pemain homegrown di kelab lain.
Fabregas merupakan pemain homegrown Chelsea setelah menjadi pelatih di akademi Arsenal dan Welbeck merupakan pemain homegrown Arsenal setelah bersama dengan akademi Manchester United semenjak dari usia muda lagi.
Jumlah pemain homegrown boleh mengubah komposisi pemain sesebuah kelab. Setiap kelab perlu bijak untuk menyediakan pasukan. Menyediakan ‘squad depth’ bagi fleksibiliti pasukan dan sistem penggiliran pemain.
Peraturan ini juga sebenarnya melindungi pemain-pemain tempatan dari diketepikan oleh kelab-kelab mereka. Selain itu, peraturan ini boleh menyediakan jumlah pemain tempatan yang ramai, seterusnya memudahkan jurulatih pasukan kebangsaan untuk memilih pemain dan diserapkan ke skuad kebangsaan.