Kelab Milikan Penyokong Yang Di Uruskan Secara Atas Talian
Di zaman moden, dunia tanpa sempadan ini, siapa sangka komuniti bola sepak berlainan kawasan, negara atau benua boleh bersama-sama menguruskan kelab bola sepak secara atas talian.
Sistem pemilikan kelab secara atas talian (on-line) ini memerlukan sejumlah ahli berdaftar untuk menjadi ahli pengurusan kelab (bukan ahli kelab). Ahli berdaftar tersebut dibenarkan membuat keputusan mengenai perjalanan kelab di dalam dan di luar padang. Ahli berdaftar boleh membuat keputusan menjual atau membeli pemain dan membuat keputusan-keputusan lain berkaitan kelab melalui undian.
Ahli berdaftar ini tidak memiliki kelab tersebut, tetapi menjadi ahli dalam pengurusan kelab.
Di England, projek ini telah dimulakan oleh MyFootballClub Society, Ltd (MyFC). Ianya adalah cetusan idea dari seorang bekas wartawan bola sepak, Will Brooks.
Brooks telah menubuhkan MyFC pada tahun 2007. Untuk meneruskan projek ini, Brooks memerlukan lebih kurang 50,000 orang ahli berdaftar bagi membeli sebuah kelab bola sepak di England.
Pada Nov 2007 MyFC telah mengumumkan, mereka berjaya mencapai persetujuan untuk membeli Ebbsfleet United FC.
Sebelum keputusan itu dibuat, ahli MyFC perlu membuat undian, kelab mana yang mereka ingin miliki. Di peringkat awal undian, Leeds United mendahului undian diikuti oleh Cambridge United dan Nottingham Forest.
Mungkin sedar risiko memliki kelab yang berada di liga atasan, Brook mengambil keputusan, MyFC akan mengambil alih kelab liga bawahan.
Pada tahun 2008 hingga ke 2013 MyFC telah berjaya memiliki 75% pegangan dalam kelab Ebbsfleet United FC.
Pada awalnya, ahli MyFC dibenarkan untuk membuat keputusan kesebelasan utama kelab, tetapi akhirnya keputusan itu diserahkan semula kepada ketua jurulatih.
Projek MyFC ini sangat berjaya hinggakan dapat menarik minat dari peminat bola sepak lebih dari 70 negara untuk menjadi ahli berdaftar MyFC. Pada May 2008 MyFC berjaya memperolehi 30,000 orang ahli berdaftar.
Sebenarnya projek kelab milikan penyokong secara online ini bukan hanya wujud di England. Ianya juga terdapat di lebih 10 negara lain. Antaranya ialah Brazil, Denmark, Perancis, Jerman dan Jepun. Di setiap negara yang menjalankan projek ini, mereka mempunyai kaedah pengurusan kelab (secara online) yang berbeza-beza.
Contohnya di Perancis, Web FC, ahlinya dibenarkan untuk membuat pilihan berkaitan strategi dan taktikal perlawanan kelab. Berbeza dengan MyFC, ahli Web FC tidak perlu membuat sebarang bayaran untuk menyertainya. Lebih banyak ahlinya menyertai undian, maka lebih tinggi lah nilai undian ahli tersebut.
Di Jerman pula, TC Freisenbruch diuruskan sepenuhnya oleh ahlinya melalui laman web kelab. Dengan motto “Your Club – You Decide” hampir semua keputusan kelab akan dibuat melalui undian. Setiap bulan, ahli yang berdaftar boleh menjadi sebahagian dari pasukan pengurusan kelab dengan dikenakan sedikit bayaran tertentu. Sebagai ahli pengurusan kelab, mereka akan mendapat data berkaitan prestasi pemain semasa latihan. Selain itu, ahli berdaftar juga mempunyai kuasa untuk menukar pengurus kelab.