Sejarah “Bosman Ruling”
Jean-Marc Bosman mungkin bukanlah superstar di era beliau. Namun wujudnya beliau dalam sejarah bolasepak moden memberi impak yang amat besar. Perkataan “bosman” , “bosman ruling” , “on a Bosman” , “Bosman deal” bukanlah perkataan asing pada peminat bolasepak yang mengikuti jendela perpindahan pemain di pertengahan dan akhir musim.
Hampir 21 tahun istilah “Bosman Ruling” diperkenalkan dalam persada bolasepak moden.
Sejarah Bosman Ruling.
Segalanya terjadi ketika Jean-Marc Bosman yang ketika itu bermain untuk pasukan RFC Liege dalam liga Divisyen 1 Belgium berada di penghujung kontraknya. Beliau ditawarkan kontrak baru yang bernilai kurang 4 kali ganda dari gaji asal.
Bosman berasa tertekan dengan tawaran kontrak baru yang jelas tidak munasabah kepadanya dan membuat keputusan untuk berpindah ke Dunkirk FC.
Malangnya perpindahan yang diharapkan olehnya tidak menjadi, kerana RFC Liege meminta bayaran 4 kali ganda dari harga ditawarkan oleh Dunkirk FC.
Bosman terpaksa terus berkhidmat dengan RFC Liege. Lebih malang, gajinya dikurangkan dan dia kehilangan tempat dalam skuad utama.
Tahun berikutnya Bosman bermain di divisyen rendah Liga Perancis, seterusnya di Liga Belgium sehinggalah karier terakhirnya di Kepulauan Reunion.
Membawa Ke Mahkamah.
Berang dengan tindakan bekas majikannya, Jean-Marc Bosman mencabar RFC Liege, Uefa dan Persatuan Bolasepak Belgium di Mahkamah Keadilan Eropah di Luxembourg pada 6 oktober 1993.
Keputusan Mahkamah.
Akhirnya keadilan memihak kepadanya apabila pada tanggal 15 disember 1995, Mahkamah Keadilan Eropah memutuskan bahawa tiada sekatan dikenakan keatas mana-mana pemain Eropah yang bermain di liga peringkat kebangsaan untuk berpindah setelah kontraknya tamat, kepada mana-mana liga lain di dalam komuniti Eropah dan tiada yuran perpindahan dikenakan.
Namun, harga yang Jean-Marc Bosman perlu bayar amatlah tinggi apabila FIFA, UEFA telah menghantar mesej kepada semua kelab naungannya agar tidak menandatangani Jean-Marc Bosman kerana keputusannya mencabar mereka di Mahkamah.
Keputusan pada 15 disember 1995 telah memberikan satu dimensi baru dalam dunia bolasepak dimana pemain diberikan hak mutlak memilih kelab baru mereka. Robert Lewandowski, Bastian Schweinsteiger, Vincent Kompany, McManaman dan ramai lagi adalah antara pemain yang mendapat faedah “Bosman Ruling”.
#RC10