Alessandro Del Piero : Mr. Juventus Si Pemilik Cinta Sejati Old Lady
Jika ada pemain yang boleh dianggap setia-hujung-nyawa dengan kelabnya, maka Alessandro Del Piero adalah satu nama yang tidak boleh kita lupakan.
“Del Piero adalah Juventus dan Juventus adalah Del Piero”.
Mungkin itulah perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan kesetiaan beliau pada kelab Turin itu. Menabur bakti selama 19 tahun (1993-2012) di Juventus adalah manifestasi cintanya kepada kelab ini.
Lahir pada 9 November 1974 di Conagliano, Itali, beliau memulakan karier bola sepaknya bersama kelab Padova di Serie B. Menghabiskan dua musim (1991-1993) di Padova, beliau berjaya membuat 14 penampilan tetapi hanya mampu mencetak 1 gol.
Perjalanan Panjang Bersama Juventus.
Pada tahun 1993, Del Piero menerima tawaran dari Giovanni Tropattoni untuk menyertai Juventus. Di Juventus, Del Piero tidak terus mendapat tempat di skuad utama. Lantaran usianya baru 19 tahun, beliau lebih banyak bermain dalam skuad Primaveira Juventus.
Memasuki pertengahan musim 1993, barulah beliau mendapat peluang untuk debut di Serie A. Di musim debutnya, Del Piero berjaya mencetak 5 gol dalam 14 penampilan.
Di musim keduanya pada 1994 ketika Juventus dilatih Marcelo Lippi, Del Piero mendapat minit bermain lebih banyak. Kecederaan lutut yang dialami Roberto Baggio menjadi titik mula kejayaan Del Piero bersama Gianluca Vialli dan Fabricio Ravanelli di barisan serangan.
Kejayaan Bersama Juventus.
Berperanan sebagai Trequartista, Del Piero berjaya membantu Juventus merangkul gelaran Scudetto serta gelaran Coppa Italia. Beliau berjaya mencetak 11 gol dari keseluruhan 50 penampilan di semua pertandingan. Semenjak saat itu namanya sentiasa menjadi sebutan penyokong The Old Lady.
Skandal Calciopoli dan Serie B.
Langit tidak selalu cerah buat Juventus apabila mereka terlibat dengan skandal Calciopoli pada musim 2006 yang sekaligus menghumban mereka ke Serie B. Dua gelaran Serie A mereka bagi musim 2004/2005 dan 2005/2006 turut dilucutkan.
Namun, di dalam duka tetap ada gembira. Di kala ramai pemain seperti Fabio Cannavaro, Patrick Viera dan Zlatan Ibrahimovic pergi meninggalkan Juventus, masih ada lagi pemain seperti Pavel Neved, Del Piero, Gianluigi Buffon dan Gianluca Zambrotta kekal berdiri teguh dan sanggup bersama Juventus di Serie B.
Berkat kesabaran dan kecekalan pemain yang sedia ada, Juventus berjaya memenangi gelaran Serie B pada musim 2006/2007 sekaligus kembali semula ke Serie A.
Kisah Cinta Berakhir.
Malangnya kisah cinta Mr. Juventus dan Old Lady tidak berkekalan. Setiap yang bermula, pasti akan berakhir. Kontrak Del Piero bersama Juventus tidak disambung oleh Presiden Kelab ketika itu Andrea Agnelli di akhir musim 2011/2012.
Selepas dilepaskan Juventus, Del Piero berkelana ke Australia dan menyertai Sydney FC (2012 – 14) dan ke India menyertai Delhi Dynamos (2014) sebelum menggantung butnya.
Bersama Juventus selama 19 tahun, Del Piero telah mencatatkan 705 penampilan (rekod penampilan terbanyak Juventus selain penjaga gol) dan 290 gol.
Pencapaian Del Piero bersama Juventus
Serie A: (1994-1995), (1996-1997), (1997-1998), (2001-2002), (2002-2003) dan (2011-2012).
Serie B: (2006-2007).
Coppa Italia: (1994-1995)
Super Coppa Italia: 1995, 1997, 2002, 2003, 2012.
Liga Juara Eropah/UCL: (1995-1996).
Piala Intercontinental: 1996.