Putrajaya Industry FC : Bermulanya Cabaran Mendaki Puncak Gemilang

Putrajaya Industry FC : Bermulanya Cabaran Mendaki Puncak Gemilang | Putrajaya Industry FC (PIFC) ibarat anak kecil yang baru lahir di dalam dunia bola sepak. Banyak lagi cabaran mendatang yang perlu di tempuhi untuk mendaki puncak kejayaan dan kegemilangan.
Kehadiran awan altocumulus memayungi arena pertemuan di antara PIFC dan MOA FC di padang Equestrian Putrajaya tidak mampu meredakan bahang kepanasan cuaca petang itu.
Sepak mula yang dilakukan tepat jam 3 petang itu sedikit sebanyak menjejaskan aksi pemain kedua-dua pasukan. Pemain-pemain amatur ini nyata terjejas dari segi mental dan fizikalnya. Bergelut untuk memberikan aksi terbaik di bawah terik mentari.
Separuh masa pertama permainan lebih dikuasai oleh MOA FC, banyak kesilapan mudah yang dilakukan oleh pemain PIFC. Bahagian tengah kelihatan hilang kawalan dan membenarkan beberapa kali serangan dilancarkan oleh MOA FC.
Para pemain PIFC kelihatan gugup, kurang persefahaman dan komunikasi sesama mereka. Cuma satu atau dua pemain sahaja yang benar-benar vokal di atas padang. Hasilnya di separuh masa pertama, MOA FC berjaya menjaringkan 1 gol menerusi sepakan sudut.
Di separuh masa kedua, terdapat sedikit perubahan dalam corak permainan PIFC. Pertukaran pemain dan percaturan taktikal yang baru oleh jurulatih Azlan Ahmad berjaya meredakan sedikit serangan dari MOA FC. Tetapi PIFC masih lagi tidak berjaya membolosi gawang MOA FC, sebaliknya MOA FC berjaya menambah 1 lagi gol menerusi sepakan penalti menjadikan kedudukan hingga akhir perlawanan 2 – 0.
Memang banyak yang perlu diperbaiki oleh PIFC jika ingin serius memberikan saingan di dalam Liga Bola Sepak Putrajaya 2017 ini. Perlawanan pertama ini akan dijadikan rujukan untuk jurulatih menilai karakter setiap pemain PIFC seterusnya merencana taktikal yang lebih berkesan untuk pertemua yang akan datang.

Kedudukan semasa selepas perlawanan pertama di dalam kumpulan A, PIFC berada ditangga ke-enam.
Kejayaan dan kegemilangan itu tidak hadir sekelip mata. Ianya perlu didokong dengan usaha berterusan serta istiqomah dalam perjuangan. Banyak lagi ranjau dan onak berduri yang perlu dilalui PIFC dalam menuju kejayaan. Setiap ujian itu akan menjadikan PIFC lebih matang dan lebih baik dari sebelumnya.