Akademi Bola Sepak Di Pandang Sepi Oleh Banyak Kelab Dan Persatuan Di Malaysia
Akademi adalah sebahagian daripada tunjang bagi sesebuah kelab selain daripada kakitangan dan pengurusan kewangan. Akademi memberikan satu tanggapan penting tentang hala tuju pasukan.
Di Malaysia, akademi/pembangunan akar umbi amat kurang diberikan perhatian yang sepatutnya diterima kerana pihak pengurusan kelab serta peminat mereka lebih memberikan 100% perhatian mereka kepada pasukan yang berada di liga utama domestik. Adakah akademi sudah tidak relevan lagi bagi mereka?
Akademi mencerminkan hala tuju kelab dalam jangka masa panjang sama ada mereka mampu kekalkan ‘kekebalan’ kelab ataupun tidak. Jadi pada hari ini, saya ingin membincangkan perihal akademi dan pendekatan yang diambil kelab mereka.
1. TIADA SEBARANG PENDEKATAN RADIKAL DAN BESAR-BESARAN DIAMBIL KELAB KE ATAS AKADEMI.
Memang tiada! Pernahkan lihat mana-mana pasukan di Malaysia mengambil pendekatan untuk merekrut sebanyak mungkin pemain berusia bawah 12 tahun? Pernah dengar mana-mana sekolah + akademi berasaskan bola sepak di Malaysia? Pernah lihat sebarang kerjasama antara pihak kelab di Malaysia dengan kelab-kelab luar demi pembangunan akademi?
Pihak kelab sepatutnya mengambil pendekatan berbeza dan lebih berani dengan mencontohi akademi/sekolah bola sepak luar negara dan memulakan sesuatu. Sebagai contoh, Evergrande International Football School di Guangdong, China.
Evergrande International Football School merupakan akademi bola sepak terbesar di dunia dengan jumlah pelajar sebanyak 2.4 ribu dan 50 padang bola sepak. Inisiatif ini diambil oleh Xu Jiayin, seorang billionaire (Evergrande Group) demi menjadikan China sebuah kuasa besar bola sepak suatu hari nanti.
Apa yang menarik, sekolah ini telah bekerjasama dengan Real Madrid dan telah menghantar sepasukan bekas pemain-pemain Sepanyol yang pernah bermain di La Liga untuk melatih pelajar-pelajar sekolah bola sepak ini!
Berbalik kepada kisah akademi di Malaysia, saya pasti kelab di Malaysia pasti merasakan ianya sesuatu yang merugikan bagi mereka untuk membina sebuah ‘kilang bola sepak masa depan’. Namun, adakah membeli pemain kuda tua yang sudah ‘off-peak’ berbaloi?
Bukankah kewujudan kelab-kelab di Malaysia adalah untuk menaikkan mutu bola sepak kita? Atau ianya hanya laungan propaganda sang VVIP dan kerabat diraja semata-mata? Adakah sukan ini hanya sekadar platform untuk anda meraih pengaruh dan kepercayaan daripada pihak atasan semata-mata? Kalau tidak, sila ambil langkah proaktif bagi mambantu bola sepak Malaysia!
2. SCOUTING SYSTEM DI MALAYSIA TERLAMPAU KOLOT!
Pemilihan terbuka sebagai platform mencari pemain? Maaf, tetapi ianya sangat kolot sehinggakan jika diletakkan di muzium, boleh dijadikan bahan rujukan para sejarawan!
Kenapa tidak mahu menggajikan seseorang yang berpengetahuan dan berlesen sebagai ‘talent scout’?. Di Malaysia, terdapat sangat banyak pertandingan bola sepak antara sekolah-sekolah berlangsung dan tiada sebarang ‘scouting’ dilaksanakan?
Wow, cara bola sepak berkembang di Malaysia sangat perlahan! Hendak mencari pemain pun masih membuat pemilihan terbuka? Apakah tiada pemain-pemain yang berbakat bermain semasa pertandingan antara sekolah sehinggakan masih lagi mengadakan pemilihan terbuka?
Di Malaysia, kita masih mengharapkan platform sekolah sukan dan pemilihan terbuka untuk mencari pemain berbakat untuk menyertai akademi. Kalau macam ini, memang taklah Malaysia akan pergi ke Piala Dunia! Kolot!
Saya kritik, bukan bererti saya tak boleh terima pemilihan terbuka. Akan tetapi, cuba bayangkan bagaimana penduduk luar bandar dan masyarakat Asli yang ingin datang ke lokasi pemilihan terbuka yang jauh di pusat bandar? Melalui ‘scouting’ sahaja, masalah ini dapat sekurang-kurangnya diselesaikan secara berperingkat.
3. BYE-BYE SENTIMEN KENEGERIAN, HAI ‘HOMEGROWN PLAYER’!
Ini suatu masalah yang bukannya peminat sahaja dapat rasa malahan pihak kelab turut terjebak, sentimen kenegerian. Kalau boleh, memang saya hendak buang sentimen ini daripada kisah bola sepak Malaysia termasuk pada peringkat akar umbi.
Kita ambil contoh, Athletico Bilbao (La Liga). Kelab ini hanya membeli dan merekrut pemain berbangsa Basque (suatu kawasan di Sepanyol dan Perancis yang ketika ini masih mahu keluar daripada negara masing-masing dan membentuk negara baru) sahaja sebagai pemain mereka.
Daripada contoh di atas, kita dapat mengetahui implikasi daripada perihal berikut antaranya pemain yang berlainan bangsa tidak dapat mewakili pasukan mereka dan kelab ini bakal menghadapi masalah jika tiada lagi pemain berbangsa Basque yang mahu bermain bersama mereka.
Jadi, saya melihat hal ini sebagai sesuatu yang serius dan berharap tiada lagi sebarang sentimen kenegerian dalam sesebuah kelab. Sebaliknya, kita mencontohi peraturan ‘homegrown player’ England namun bukanlah 100% daripada apa yang dinyatakan.
Kalau rasa ‘homegrown player’ tidak cukup adil, mari contohi MLS (Major Soccer League, Amerika Syarikat) dan sistem ‘draft’ mereka yang mana pemain muda boleh ‘diborong’ walaupun daripada mana-mana akademi di Amerika Syarikat. Tetapi, sistem ‘draft’ ini lebih menguntungkan pasukan juara sebenarnya.
Dengan itu, dapatlah kita sama-sama memikirkan cara bagaimana hendak memajukan bola sepak Malaysia dan bagaimana hendak menaiktarafkan akademi.
Sekian sahaja daripada saya. Terima kasih!