Kelab Bola Sepak Berasaskan Komuniti Dan Milikan Penyokong
Akhir-akhir ini komuniti bola sepak Malaysia banyak memperkatakan tentang kelab bola sepak berasaskan komuniti dan milikan penyokong. Semuanya kerana, penyokong bola sepak tempatan mahukan satu perubahan besar dalam pengurusan pasukan atau kelab bola sepak Malaysia.
Penyokong Selangor antara yang sudah menggerakkan usaha ini melalui gerakan #RevampSelangorFootball (RSF). Gerakan ini sudah mendapat banyak sokongan dari dalam mahupun luar selangor.
#RevampSelangorFootball (RSF) menjemput seluruh anak-anak watan Selangor untuk bersama-sama merevolusikan bolasepak Selangor melalui sumbangan dana. Sumbangan dana ini bukan satu kutipan derma, sebaliknya ia akan direalisasikan menjadi yuran keahlian tahunan bagi membentuk model pemilikan kelab oleh para penyokong. Model pemilikan sebegini ialah model pemilikan yang diamalkan di kelab-kelab terbesar dunia, umpamanya FC Barcelona dan Real Madrid CF. Ia adalah model yang menawarkan akauntabiliti, dan mendorong kepada amalan operasi yang baik, selain ketelusan dalam pengurusan kelab. Ayuh kita jadikan Selangor sebagai perintis kepada model kelab bolasepak 100% milik penyokong!
– Revamp Selangor
Modul milikan penyokong ini sebenarnya tidak asing di negara luar seperti Sepanyol, Jerman dan Argentina. Maksud milikan penyokong disini ialah, kelab tersebut dimiliki dan diuruskan sepenuhnya oleh penyokong (melalui jawatakuasa yang dilantik atau sekumpulan individu yang diamanahkan untuk mengurus kelab).
Di Jerman, milikan tunggal (individu atau syarikat) bagi sebuah kelab adalah tidak dibenarkan. Terdapat juga beberapa kelab yang memperdagangkan saham mereka di Pasaran Saham Jerman (sama seperti jual beli saham di Bursa Malaysia).
Banyak kelebihan sebenarnya kelab milikan penyokong ini. Antaranya ialah, penyokong akan menjadi tulang belakang kepada kelab dan boleh menentukan hala tuju kelab.
Macam mana penyokong boleh menentukan hala tuju kelab?
Penyokong perlu menjadi ahli kelab yang berdaftar. Dengan menjadi ahli kelab yang berdaftar, penyokong berhak mendapat 1 undian, mencalonkan individu yang layak ataupun menjadi calon dalam jawatan utama dalam kelab. Oleh yang demikian, penyokong mempunyai suara besar dalam menentukan hala tuju, jatuh bangun kelab yang mereka sokong.
Peranan penyokong dalam kelab jenis ini amat besar dan penting sebenarnya. Mereka bukan sahaja menjadi penyokong dan penonton, terdapat kelab (milikan penyokong) di eropah yang membenarkan ahlinya menentukan warna dan corak jersi kelab, nama stadium dan ada juga yang boleh menentukan harga tiket. Semuanya perlu mendapat sokongan dari ahli kelab melalui undian yang dibuat.
Dengan cara milikan penyokong ini juga, ianya dapat memudahkan kelab untuk mencari penajaan.
Kita ambil contoh idea #RevampSelangorFootball (RSF) yang menyasarkan lebih kurang 15,000 ahli berdaftar.
Dengan keahlian sebegitu ramai berdiri teguh di belakang RSF, mereka boleh pergi berjumpa mana-mana penaja/syarikat dan mengatakan “Di belakang kami ada 15,000 keahlian berdaftar yang boleh membantu memasarkan produk/perkhidmatan syarikat tuan” sudah tentu penaja/syarikat akan merasa lebih yakin kerana mereka akan memilik pelanggan sedia ada seramai 15,000 orang.
Kelab bola sepak milikan penyokong ini juga sebenarnya lebih selamat dan stabil berbanding dimiliki oleh satu entiti sahaja. Kenapa?
Jika kelab itu dimiliki oleh satu entiti, penyokong tidak ada hak untuk bersuara atau menentukan hala tuju kelab. Segalanya ditentukan oleh ahli lembaga pengarah atau pemilik kelab tersebut.
Lihat apa yang terjadi pada Cardiff City pada tahun 2012 selepas dibeli oleh Tan Sri Vincent Tan. Logo dan warna rasmi kelab ditukar, seterusnya mendapat bantahan kuat dari penyokong The Bluebirds. Tapi tidak banyak yang dapat dilakukan oleh penyokong kerana kelab itu bukan milik mereka.
Baca : TS Vincent Tan Mengubah Warna Rasmi Dan Maskot Cardiff City
Modul pemilikan kelab ini sebenarnya saling berkait rapat juga dengan apa yang dikatakan sebagai kelab bola sepak yang berasaskan komuniti.
Kelab bola sepak berasakan komuniti ini ialah dimana sesebuah daerah atau kawasan itu memiliki sebuah kelab bola sepak. Penduduk di daerah itu atau kawasan itu sendiri akan menjadi nadi penggerak dan pemilik kepada kelab bola sepak tersebut.
Contoh paling berjaya kelab bola sepak milikan penyokong ini ialah Real Madrid Dan Barcelona. Tidak perlu rasanya untuk diceritakan lagi sejauh mana kejayaan kedua-dua kelab ini.
Semoga suatu hari nanti, modul pemilikan kelab bola sepak seperti ini akan wujud dan menjadi teras kepada kemajuan bola sepak Malaysia.
//Sumber : backpagefootball.com , wikipedia.org , uk.coop
Putrajaya Industry FC : Kelab Kecil Berjiwa Besar | Bola Daily
September 12, 2017 @ 10:14 am
[…] Artikel Berkaitan : Kelab Bola Sepak Berasaskan Komuniti Dan Milikan Penyokong […]